
Hadis : Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu  kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya  digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan  bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk  membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti  bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan  tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah  boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim).
Ada yang menyatakan seperti ini...
Hadis yang menyatakan seperti bonggol unta itu ditujukan kepada  perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat secara sempurna. Mereka  memakai pakaian yang nipis-nipis mahupun ketat-ketat sehingga boleh  menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit. Pemakaian seperti ini adalah  dilarang sama sekali oleh Islam terhadap para wanita kerana seolah-olah  mereka semacam bertelanjang juga.
Sanggul rambut di kepala yang  selalu para wanita memakainya bukanlah membawa maksud seperti hadis di  atas secara mutlaknya. Boleh sahaja untuk memakai sanggul asalkan tidak  mendedahkan aurat di hadapan lelaki bukan mahramnya.
dan pendapat lain adalah seperti berikut
Ulama' Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah perkara  yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan diizinkan oleh  suaminya.
Imam Ramli (Ulama' Mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj :
"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya. Sekiranya  wanita itu mendapat keizinan suaminya (bagi yang bersuami) atau tuannya  (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka diharuskan. Ini  kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada isterinya. Ini  disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi (Jilid 2 ms 25)
Menurut ulama', seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.
SEBAB PENGHARAMAN
Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:
SEBAB PERTAMA : PENGUBAHAN
Rasulullah saw bersabda :
“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur  kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk  kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)
Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut :
“Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal"
Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya.  Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai  pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.
SEBAB KEDUA: PENIPUAN
Muawiyah berkata :
"Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan  kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.
Kesimpulan :
Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas  perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan  bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara  yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan.   
Nabi saw bersabda:
"Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya." (Hr Abu daud - hasan sahih)
Rujukan: Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil  Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr  soleh Fauzan.
Apa yang jelas di fikiran saya sekarang ini  adalah pendapat yang kedua berdasarkan tulisan yang telah saya  highlightkan.. Apakah ianya benar?
Sekian sahaja buat masa ni. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Wassalam.
Jawapan dari Ustaz Nor Amin
Ingatan kepada semua, wanita yang tidak menutup aurat adalam dosa dan  haram perbuatan tersebut. Wanita yang bersanggul tinggi yang tidak  menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh hadis  yang pertama di atas. Masalah ini beza dengan wanita yang bertudung,  tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya.
Masalah  sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah dilihat dari  tujuannya. Kenapa disanggulkan rambut tersebut? Adakah ia untuk  diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya  cantik? Atau sebagainya. Menurut saya, kalau sanggul tersebut dibuat  adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang bukan mahram,  maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki  yang bukan mahram. Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh  menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang  lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan  yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di  rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk  di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. Tetapi  apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan  memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik  perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul  dan berpakaian kemas dan cantik.
Sanggul tinggi adalah harus  apabila tidak menarik perhatian orang lain dan tidak mempunyai niat-niat  yang tidak baik sepertimana dinyatakan di atas. Awas!!! Jika sanggul  tersebut dapat menarik perhatian orang bukan mahram dan boleh  membangkitkan syahwat orang lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu  menukar teknik sanggulnya dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul  tinggi dihadapan suaminya atau berpakaian cantik dihadapan suaminya,  kerana ini adalah suruhan agama berhias untuk keselesaan suaminya.
Jika dilihat dari tren orang sekarang ini berfesyen seperti sanggul  tinggi dan fesyen tudung yang semakin hari semakin menjadi-jadi fesyen  tersebut. Pendapat saya, jika fesyen tersebut tidak melanggar hukum  Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar  syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya  bertelanjang sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram. 
Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :
“Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu  kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya  digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan  bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk  membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti  bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan  tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah  boleh dicium dari jarak demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim).
 
Title : Hukum Menampakkan Sanggul
Description :   Hadis : Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :   "Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu  kaum yang bersam...